Akhlak Berjamaah
Supaya perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah SWT dan mendapat pertolongan daripada-Nya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:
1. Ikhlas
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah menuntut keredhaan-Nya dengan menegakkan agama-Nya sehingga didaulatkan.
Abu Musa Al Ashaari menceritakan: Seorang Arab Badwi datang menemui RasuluLlah S.A.W., dia berkata:
“Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahu disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah? Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”
Ini bermaksud perjuangan menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.
Firman Allah, maksudnya:
“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (al Bayyinah : 5)
Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati dari sifat-sifat yang menrosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.
2. Istiqamah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya yang bermaksud:
“Maka kamu mestilah istiqamah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu”. (Yunus : 189)
Apabila Abu Sufian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah S.A.W.:
“Katakan kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang lain darimu. Sabda Rasulullah: Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.”
Para rasul dan sahabat adalah orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan, kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyengutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibubapa dan lari dari medan perjuangan.”
3. Taat
Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah, maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu).......”. (an-Nisa : 59)
Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.
Di dalam Bai’ah itu Rasulullah bersabda:
“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”
Ketaatan Yang Dituntut
a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan.
b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga kumpulan bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.
c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam kumpulan, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.
4. Wala’
Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.
Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”
(al Maidah : 55)
5. Disiplin
Firman Allah, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”
(ali Imran : 200)
Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaimana berikut:
1. Tatatertib dan kelakuan diri
2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik
3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan
4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan
Penutup
Akhlak dan disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan kumpulan. Setiap orang mesti berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan peribadi yang baik bagi mentadbir segala kegiatannya.
W'A~
0 comments:
Post a Comment