? ?general?42 Ratings)??1 Grab Today. 5694 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ?????Scotland? ????? ?????
? ???Rating: 3.1 (22 Ratings)??1 Grab Today. 1905 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger accou BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, March 30, 2010

Manfaat dari Non-Muslim tu boleh ke?


Sesetengah orang terlalu jumud dengan pegangan mereka. Sesetengah lagi terlalu terbuka sehingga menjejaskan prinsip. Sikap tidak mahu mengambil manfaat daripada non-muslim ialah sikap yg merugikan. Ada yg berhujah, jangan menyerupai atau tasyabbuh dengan mereka. Ini kerana terdapat hadith yg melarangnya,
"Sesiapa yg menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka." Riwayat Abu Daud.

Namun, kita sepatutnya memahami dengan pemahaman yg sebenar, adakah mengambil kebaikan daripada orang kafir itu dikira tasyabbuh yg dicela syarak? Maka, bezakan antara mengambil manfaat daripada mereka dengan tasyabbuh dengan mereka. Jauh sekali perbezaannya. Kesilapan dalam memahami maksud hadith ini menyebabkan seseorang akan ketinggalan jauh di belakang. Janganlah kerana terlalu bencikan barat, maka kita abaikan segala manfaat yg boleh diambil daripada mereka.

Dalam Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah terdapat hadith yg berbunyi,

"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, di mana dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya."

Kesilapan dalam memahami hadith di atas juga bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kesesatan dan kekufuran. Adakah kita boleh mengambil manfaat daripada non-muslim secara mutlak?

Saya tertarik dengan ulasan Habib Ali Al-Jifri hafizahullah mengenai perbezaan antara mengambil faedah daripada non-muslim dan menyerupai atau tasyabbuh dengan mereka. Kita hendaklah terlebih dahulu melihat kepada apa yg ingin kita ambil daripada non-muslim. Adakah ianya dicela oleh syarak atau tidak?

Jika ia tidak dicela syarak, maka ambil faedah daripadanya dan ini dikira beramal dengan hadith di atas. Jika sebahagian juzuknya dicela syarak manakala sebahagian juzuk lagi tidak, maka ambil faedah daripada juzuk yg tidak dicela sahaja lalu tinggalkan juzuk yg dicela. Sifirnya mudah sekali.


Mungkinkah terjadi sebegini jika kita terus-menerus berfikiran dangkal.
-gambar hiasan :)


Ilmu mantik misalnya telah diislamkan oleh para ulama kita. Ilmu mantik telah dibersihkan daripada segala unsur kekufuran dan akhirnya menjadi antara silibus penting pengajian di Al-Azhar sehingga ke hari ini.

Imam Ghazali dan Imam Fakhruddin Ar-Razi rahimahumallah menganggap bahawa hukum mempelajari ilmu mantik ialah fardhu kifayah dan ianya bertujuan untuk mendirikan dalil-dalil secara akli untuk membela akidah Islam sekaligus menolak syubhat yg dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Manakala sebahagian ulama seperti Imam Ibnu Solah dan muridnya, Imam Nawawi rahimahumallah mengharamkan ilmu mantik hanya apabila ilmu mantik bercampur baur dengan kalam ahli falsafah yg sesat.

Maka ilmu mantik yg telah suci daripada najis falsafah sesat tidaklah dilarang untuk mempelajarinya bahkan ianya termasuk dalam fardhu kifayah. Wallahu'alam. Hmmm, baru-baru ini saya terbaca komen seorang kawan yg menghentam ilmu mantik. Cukuplah menhentam ilmu mantik wahai saudara. Jangan jadi seperti anjing yg menyalak bukit.

Teori bahawa 'Kita perlu mengambil segala yg dilaksanakan barat' dengan hujah bahawa mereka telah mencapai kemajuan dan kemodenan, maka kita perlu meniru mereka secara total ialah teori yg amatlah menyesatkan. Teori inilah yg digunapakai oleh Atartuk dalam usaha memodenkan Turki setelah meruntuhkan institusi khilafah satu ketika dahulu.

Atartuk ini beranggapan Islam dan kemodenan ialah dua perkara yg saling bertentangan dan tidak boleh bersama. Ajaran Islam kononnya dilihat sebagai tidak selari dengan kemajuan dan kemodenan. Teori sesat ini masih dianuti oleh golongan muslim sekular di Turki pada hadir ini. Kekaguman mereka terhadap Ataturk masih di tahap yg tinggi.

Ini jelas dilihat pada duit syiling Turki yg masih lagi terukir wajah Ataturk yg diwarwarkan sebagai Bapa Kemodenan Turki. Hakikatnya, Ataturk dan penyembah ideologi sekular di Turki memang buta sejarah atau buat-buat buta sejarah. Lupakah mereka bahawa Islam terlebih dahulu merintis keilmuan dan kemodenan yg kemudiannya hanya diteruskan sahaja oleh barat. Barat bukanlah perintis, tapi hanya penerus. Oh ya, sila fahami bahawa saya mengkritik barat bukan kerana geografinya. Islam tiada masalah dengan geografi.

~Islam semakin berkembang di barat~

Sebagaimana kita tidak menerima apa yg dibawa oleh barat secara mutlak, kita juga tidak menolaknya secara mutlak. Hujah bahawa barat ialah musuh Islam maka kita diharamkan mengambil apa sahaja yg dibawa barat merupakan hujah yg tidak berasas sama sekali.

Saya masih ingat kalam Habib Umar hafizahullah yg pernah menyifatkan bahawa media elektronik yg asalnya digunakan oleh barat sebagai هادم (pembinasa) yg merosakkan umat Islam hendaklah ditukar peranannya kepada خادم (hamba) kepada umat Islam. Umat Islam perlu menjadikan kemodenan dan teknologi sebagai hamba untuk menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Senjata yg digunakan oleh barat untuk menyerang kita perlu dimanipulasi untuk digunakan bagi menyerang balas.

Saya kagum dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi hafizahullah yg telah menguasai ilmu IT sejak lebih 20 tahun yang lalu. Bahkan dari sudut penggunaan komputer atau laptop, beliau ialah seorang heavy user. Alhamdulillah, sekarang kebanyakan ulama telah mempunyai laman web peribadi walaupun mungkin bukan mereka sendiri yg menguruskannya. Sekurang-kurangnya ilmu-ilmu mereka boleh berlegar-legar di alam siber setelah lama bertapak di alam maya. Himpunan kitab, artikel, audio dan video para ulama juga semakin membanjiri alam siber.
Blockquote
Berpegang dengan prinsip tetapi jangan sehingga jadi jumud. Berfikiran terbuka tapi jangan sehingga keluar dari orbit Islam.


Rujukan:
Muqawwimat Ad-Daieyah, ringkasan pengajian Al-Fikr Ad-Da'wi oleh Habib Ali Al-Jifri
Syarah As-Sulam fil Mantik karangan Syeikh Abdul Rahim Farj Al-Jundi

~Semuga yang sedikit ini mendatanglan munafa'at~


Wednesday, March 10, 2010

Syeikhul Azhar, Syeikh Tantawi kembali ke rahmatuLlaah..



Syeikhul Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah menghembuskan nafasnya yg terakhir di Riyadh, Arab Saudi ketika usianya 82 tahun. Beliau meninggal dunia pada pagi hari ini (Rabu) 10 Mac 2010 akibat serangan jantung sebagaimana yg dilaporkan akhbar-akhbar. Tujuan beliau ke Riyadh ialah untuk menghadiri majlis Anugerah Al-Malik Faisal.


Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Malik Khalid, Riyadh, beliau diserang sakit jantung secara tiba-tiba sedangkan sebelum itu beliau berada dalam keadaan sihat. Ketika itu, beliau dalam perjalanan pulang ke Kaherah. Beliau kemudiannya dibawa ke hospital dan menghembuskan nafasnya yg terakhir di sana.


Anak lelakinya, Amru Muhammad Sayyid Tantawi berkata, persetujuan telah dicapai bahawa ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' di Madinah Al-Munawwarah.



Latar belakang ringkas Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah:

-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyyah di Muhafazah Sohaj di So'id Misr.

-Beliau menghafaz Al-Quran dan belajar di Iskandariah/Alexandaria, Mesir.

-Memperoleh PhD dalam bidang Hadith dan Tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat Mumtaz (cemerlang)

-Berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Kuliah Usuluddin, kemudian beliau mengajar di Libya selama 4 tahun dan di Madinah Al-Munawwarah pula sebagai Dekan Kuliyyah Ad-Dirasat Al-'Ulya di Universiti Islam Madinah. Kemudian, beliau pulang semula ke Kaherah.

-Pada 28 Oktober 1986, beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negara Mesir.

-Pada tahun 1996, beliau dilantik menjadi Syeikhul Azhar.

-Beliau merupakan salah seorang di kalangan ulama terbilang di Al-Azhar yg mahir dalam bidang Tafsir dan mempunyai karya-karya penulisan yg bermutu.

-Antara karya-karyanya ialah: Bani Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah (1969), At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran Al-Karim (1972), Al-Qissah fi Al-Quran Al-Karim (1990), Muamalat Al-Bunuk wa Ahkamuha As-Syar'iyyah (1991)

Sumber:

http://www.islamonline.net/

http://arabic.cnn.com/
http://www.alarabiya.net/
http://www.bbc.co.uk/arabic/


Semoga Allah menempatkan Syeikh Tantawi bersama para anbiya dan solihin. Aminnn... Al-Fatihah!

Perhatian! Memang tidak dinafikan Syeikh Tantawi rahimahullah pernah mengeluarkan fatwa yg kelihatan kontroversi tetapi mungkin fatwa itu dikeluarkan atas faktor-faktor tertentu yg tidak kita ketahui. Maka, lebih selamat jika kita serahkan urusan-urusan sebegini kepada mereka yg layak dan tahanlah lidah kita daripada mengecam serta mencerca para ulama. Sesungguhnya daging para ulama itu beracun.

Daripada Ibnu Umar radiyallahuanhuma, sabda Rasulullah Sollallahualaihiwasallam,

"Sebutlah kebaikan-kebaikan orang-orang yg mati di kalangan kamu dan tahanlah (diri kamu) daripada menyebut kesalahan-kesalahan mereka."

Hadith diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Hibban, At-Tabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Al-Baghawi.


Patah tumbuh, hilang sukar diganti..


~Semuga yang sedikit ini mendatangkan munafa'at~

Tuesday, March 9, 2010

"Bertindak" sebelum Bertindak..

Hukuman tanpa bicara adalah satu jenayah ~


Katalah kita ni polis, sedang duduk dalam kereta peronda kita sambil minum kopi. Tiba-tiba radio kita berbunyi, mengatakan ada dua kes yang diminta kita menangani salah satu darinya. Dua-dua kes orang kena tangkap mencuri. Kes pertama di kampung hulu, seorang lelaki ditangkap mencuri duit seringgit. Kes kedua di kampung hilir, seorang warga asing kena tangkap mencuri duit 20 ribu ringgit.


Kes mana yang kita kejarkan dulu? Agaknya tentulah kita segera berkejar ke kampung hilir, ye tak? I mean, apalah sangat duit seringgit, itupun nak report polis ke? Tapi bagaimana kalau lepas tu kita tahu hakikatnya begini:


Dalam kes pertama, duit itu kepunyaan seorang anak yatim piatu peminta sedekah, dan duit itu sajalah yang ada padanya untuk digunakan membeli roti setelah beberapa hari tak makan?
Sedangkan dalam kes kedua, duit itu kepunyaan orang kaya bakhil yang seumur hidupnya tak pernah keluar zakat? Tiba-tiba, baru kita sedar perbezaannya, antara prinsip dan appearance.


Kalau ikut prinsip, tentulah kes pertama lebih berat, walaupun hanya melibatkan duit seringgit. Tapi sebab kita hidup ini dah biasa menghakimkan orang serta peristiwa dari segi luaran, maka selalu minda kita tertipu.


Orang yang bijak adalah

orang yang dapat melihat dan bertindak terhadap keadaan sekeliling ~


Stephen Covey, dalam bukunya “Seven Habits of Highly Effective People” menceritakan pula begini:

Kita sedang duduk di sebuah bangku dalam taman. Sedang kita enak menikmati sandwic dan Coke kita di tengah taman dengan udara bertiup lembut itu,tiba-tiba datang seorang lelaki bersama 2 orang anak kecilnya duduk di sebelah kita. Lelaki itu hanya menung panjang melihat ke tasik dan mendiamkan diri sementara anak-anaknya berlarian macam setan menjerit-jerit sekuat hati. Orang yang lalu lalang semuanya melihat dengan kening berkerut-kerut perangai budak-budak yang tak tahu hormat pada orang lain tu. Kita pun lama-lama semakin bengang. Setan sungguh budak ni! Apahal mamat ni diammm je, tak nak tegur ke anak-anak dia ni?


Lepas dah tak tahan sangat, kita pun tegur lelaki itu. Boleh tak encik suruh anak-anak encik tu dok diam-diam, saya tengah nak makan sandwic ni! Lelaki itu melihat pada kita seketika sebelum tersenyum sedikit. “Maafkan saya,” kata lelaki itu. “Dan maafkan anak-anak saya tu Sebenarnya, isteri saya – ibu mereka – baru meninggal dunia sebab kanser di hospital, dan saya tak tahu macamana nak terangkan pada mereka hal ini.” Kemudian dia sambung lagi: “Biarlah saya bawa mereka ke tempat lain supaya tak menganggu anda makan.”


Apa rasa kita masa itu? Sebab itulah bila teringat ayat Qur’an mengatakan, beza antara manusia itu hanyalah iman dan taqwa, saya sering berasa menyesal. Sebab saya selalu menghukum orang melihat keadaan luarannya! Bagaimana dengan anda?


WaLlaahu A'laam...


~ Semuga yang sedikit ini mendatangkan munafa'at ~



Tuesday, March 2, 2010

Berdiam lebih baik, jika...

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”
(Mutafaq ‘alaih)

Daripada Muaz bin Jabal r.a, berkata : ” Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka. ”

Jawab Nabi SAW : ” Sebenarnya engkau telah bertanya suatu perkara yang besar, dan
sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Ta’ala, iaitu
Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan suatu yang lain.
Engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan
mengerjakan haji ke Baitullah. ”

Kemudian Nabi bersabda lagi : ” Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya
dan kemuncaknya? ”

Aku menjawab : ” Mahu, ya Rasulullah . ”

Sabda baginda : ” Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad. ”

Kemudian Nabi bersabda lagi : ” Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua
perkara ini ?”

Aku menjawab : ” Mahu, ya Rasulullah. ”

Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata : ” Awas, jaga ini baik-baik. ”

Aku bertanya : ” Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya ? ”

Baginda lalu menjawab : ” Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka
atau batang hidung mereka ke dalam neraka, melainkan hasil tutur bicara mereka. ”
(Riwayat Tirmizi)

Jika berdiam itu lebih baik, maka diamlah.
Tetapi, jangan sampai penyampaian agama itu terbantut kerana "DIAM" nya anda..
-gambar hiasan :)

~Semuga yang sedikit ini mendatangkan munafa'at~